PEKAN – Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa kini bergelar ‘Datuk Seri’ setelah dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rosa Roslaina Handiyani yang merupakan antara 18 penerima darjah kebesaran itu melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih terhadap Sultan Pahang di atas pengurniaan berkenaan.
“Saya amat bersyukur kerana tahun ini memberi banyak kebahagiaan kepada saya. Selepas mendapat Anugerah Khas Planet Muzik (APM2018) yang berlangsung di Singapura pada 28 September lalu, saya dapat pula anugerah (gelaran Datuk Seri) ini.
“Ini hadiah ulang tahun kelahiran saya pada 9 Oktober lalu dan sesungguhnya tahun ini membawa tuah kepada saya atas pencapaian terutamanya dalam bidang seni,” katanya yang ditemui selepas istiadat berkenaan.
Pengurniaan darjah kebesaran disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Pelantun lagu Pudar itu sebelum ini pernah menerima gelaran Datuk daripada Sultan Ahmad Shah lima tahun lepas.
Dalam pada itu, penyanyi berasal dari Sumedang, Indonesia itu dan popular dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’ turut menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan dia telah berkahwin dengan penyanyi Afgan.
“Itu tular… belum lagi (berkahwin), InsyaAllah, semoga cepat sahaja dapat yang terbaik,” katanya. – Bernama
