Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daun Dieffenbachia amoena bercorak cantik

    SPESIES Dieffenbachia amoena daripada keluarga tumbuhan Araceae merupakan sejenis pokok keladi yang banyak tumbuh secara meliar. Ia sering ditanam sebagai tambahan hiasan kerana ia mempunyai daun cantik dengan corak yang menarik.

    Spesies keladi ini sebenarnya adalah juga merupakan jenis tanaman yang beracun. Nama ‘Dieffenbachia’ yang bermaksud dumb cane atau rotan bisu sudah cukup memberi amaran keras tentang kesan bahaya getahnya kepada sesiapa yang termakannya.

    Begitu serius dan berbisanya getah tumbuhan ini yang juga dikatakan boleh mengakibatkan kesan gatal-gatal jika terkena pada bahagian kulit manusia. Oleh itu berhati-hati menanganinya.

    Pembiakan dan penanaman

    Ia boleh dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan batang sama ada berdaun atau tidak berdaun.

    Walaupun daun pokok keladi liar itu memiliki corak yang cantik namun hakikatnya ia memiliki racun.
    Dieffenbachia amoena sesuai ditanam dalam pasu yang cantik untuk pameran dalam dan juga luar rumah.

    Kaedah tanamannya dimulakan dengan mengerat batang yang telah matang kira-kira 10 sentimeter panjang. Sebaiknya gunakan batang yang telah mempunyai beberapa urat akar bagi mempercepatkan pertumbuhan tunas pokok yang baru.

    Tanam ia secara melintang dalam medium yang telah ditetapkan dan berikan siraman air yang diperlukannya.

    Medium tanaman yang sesuai untuk penanamannya adalah campuran 1:1:1 merangkumi tanah peroi, baja organik dan pasir sungai. Ia juga sesuai tumbuh dalam medium tanaman untuk pokok berpasu siap dicampur dan boleh dibeli dari pusat tanaman.

    Penjagaan

    Pokok ini memerlukan pendedahan kepada cahaya yang sedikit terlindung bagi mengelakkan daunnya melecur.

    Ia memerlukan kelembapan medium tanaman sentiasa. Oleh itu, siram dua kali sehari di waktu pagi dan petang pada hari panas. Juga semburkan air kepada dedaunnya untuk pertumbuhan yang lebih sihat.

    Gunakan baja organik seperti najis ayam yang siap diproses. Baja kimia berwarna hijau adalah sesuai untuk pertumbuhan dedaunnya yang cantik.

    Ketika mengendalikannya, gunakan sarung tangan jika memegang atau memotong batangnya. Tanam di tempat jauh dari laluan dan capaian terutama kanak-kanak seperti di penjuru ruang atau bilik dan sebagainya. Jika perlu elakkan menanamnya dalam rumah.

    Berikan label atau tanda sebagai ‘beracun’ pada pokok berkenaan. Pisau yang digunakan untuk memotong batang atau bahagian lain perlulah dicuci sebersihnya bagi mengelakkan terjadinya masalah keracunan dan perkara lain yang tidak diingini.

    Jika keracunan segeralah berjumpa doktor untuk rawatan seterusnya

    Idea pameran

    Dieffenbachia amoena sesuai ditanam dalam pasu yang cantik untuk pameran dalam dan juga luar rumah.

    Ia juga sesuai ditanam di atas tanah bersama pokok lain dalam skala besar untuk penampilan yang lebih menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda