Oleh Jessica Damiano –
Terdapat banyak daun gugur di luar tingkap saya dan saya mengandaikan pemandangan awda juga serupa.
Hamparan dedaun mati ini sering dianggap sebagai gangguan, namun sebenarnya ia boleh menjadi komponen penting di taman.
Saya akan menimbun lapisan daun setebal 3 inci menjadi batas dan sempadan tanaman untuk berfungsi sebagai sungkupan musim sejuk yang melindungi akar serta menjadi tempat perlindungan serangga.
Apabila ia terurai, daun-daun itu akan menambah nutrien kepada tanah, sekali gus menguatkan tanaman saya pada musim bunga.
Sebahagian lagi akan dimasukkan ke dalam longgokan kompos yang, bersama sisa makanan, rumpai, serta tumbuhan tahunan dan tanaman saka yang telah mati, akan terurai menjadi apa yang digelar pekebun sebagai ‘emas hitam’.
Namun terdapat satu lagi kegunaan daun gugur yang mungkin awda terlepas pandang iaitu humus.



KELEBIHAN HUMUS
Lebih mudah dibuat berbanding kompos namun hampir sama bermanfaat, humus hanya mengandungi satu bahan iaitu daun.
Ia membantu meningkatkan keupayaan tanah berpasir mengekalkan kelembapan, memperbaiki saliran tanah liat, mengawal suhu tanah dan mengekang pertumbuhan rumpai apabila digunakan di batas dan sempadan tanaman.
Dari segi nutrien, kompos adalah lebih baik, namun humus tetap berguna. Ia menyokong cacing tanah, serangga bermanfaat dan mikroorganisma tanah, serta meningkatkan kesihatan serta ketahanan tanaman.
Hampir semua jenis daun boleh digunakan untuk membuat humus. Daun kecil seperti bic dan mapel terurai dalam beberapa bulan, manakala daun besar dan tebal seperti oak boleh mengambil masa sehingga dua tahun.
Elak menggunakan daun walnut hitam, yang mengandungi bahan kimia bernama juglone yang beracun kepada sesetengah tumbuhan.
Walaupun daun walnut hitam yang telah dikompos sepenuhnya biasanya selamat, bahan tersebut boleh kekal dalam humus kerana proses penguraiannya lebih singkat.
CARA MEMBUAT HUMUS
Sebelum membuat humus, awda perlu memutuskan tempat untuk menyimpannya. Awda boleh mengumpulkan daun dalam kepungan dawai ayam; memasukkannya ke dalam beg sampah plastik hitam yang kukuh dan ditebuk lubang-lubang kecil untuk pengudaraan; atau menempatkannya dalam tong kompos biasa.
Apa pun pilihannya, susun daun seperti lasagna, berselang-seli dengan percikan air dan, jika mahu, sedikit baja nitrogen untuk mempercepatkan proses pereputan (baja rumput biasa juga memadai).
Periksa longgokan daun setiap beberapa minggu dan tambah air apabila perlu untuk memastikan ia kekal lembap.
Menjelang musim bunga, teksturnya akan berubah menjadi bahan organik gelap, rapuh dan kaya nutrien yang menjadi lapisan pelindung di lantai hutan.
Sebarkan humus di seluruh batas dan sempadan tanaman seperti awda menggunakan sungkupan atau kompos dan masukkan sedikit ke dalam campuran tanah di dalam pasu.
Ia akan melepaskan nutrien ke dalam tanah yang memberi manfaat kepada tanaman sepanjang musim pertumbuhan. – AP

