Oleh Nurdiyanah R.
Sudah menjadi lumrah orang tua-tua kita menanam pokok pandan di sekitar halaman rumah yang bukan sahaja mewangikan persekitaran malahan mungkin menyimpan kebaikan tersendiri serta pelbagai khasiat kepada kesihatan tubuh, jika punya pengetahuan mengolahnya.
Pandan merupakan sejenis tanaman yang tumbuh di kawasan tropika di Asia. Daun pandan memiliki bau harum dan unik. Ia biasanya digunakan di negara Asia Tenggara untuk menyedapkan masakan.
Daun pandan turut dikenali juga dengan nama kathey (Arab), chan xiang Ian (Mandarin), rampe (Hindi), thazai (Tamil) bai toey hom (Thai) cay com nep (Vietnam), taye (Kemboja) dan takonoki (Jepun). Nama saintifik pandan ialah Pandanus amaryllfolius di mana herba ini biasanya digunakan sebagai pewarna dan perasa.
Pewarna dan perasa daun pandan
Daun pandan sememangnya digunakan sangat meluas dalam kalangan masyarakat Melayu terutama dalam bidang masakan.
Daunnya akan diikat atau disimpul dan dimasukkan ke dalam kuah atau pelbagai makanan atau kuih-muih tradisional.
Daunnya juga boleh ditumbuk, dikoyak atau direbus untuk mendapatkan rasa dan baunya. Di samping itu, daun pandan boleh dikisar untuk dijadikan sebagai pewarna yang digunakan dalam masakan.
Air perahan daunnya juga dijadikan sebagai perasa, pewangi serta pewarna semula jadi di dalam kuih-muih seperti kuih Seri Muka. Helaian daunnya juga digunakan dalam masakan nasi lemak atau nasi putih bagi membangkitkan lagi aroma nasi.
Pandan juga terkenal sebagai penambah aroma wangi pada masakan pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang dan durian serta banyak lagi. Namun sesetengah masyarakat juga menghasilkan anyaman dari daun pandan untuk dijadikan wadah pembungkus makanan seperti kuih Tako.
Miliki kehebatan untuk kesihatan
Meskipun umum mengetahui daun pandan adalah pewangi dan perasa masakan semula jadi yang akan memberikan aroma yang menyelerakan, sebenarnya tumbuhan semula jadi ini juga memiliki kehebatannya darisegi manfaat terhadap kesihatan tubuh badan kita.
Pasti kita pernah mengalami kekurangan selera makan, bukan? Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah kurang selera makan ini? Salah satunya ialah teh pandan yang boleh dijadikan penawar alami untuk menambah selera makan.
Jika anda mengalami masalah sakit gusi atau sakit pada bahagian mulut, cubalah mengunyah daun pandan. Ia dikatakan mampu untuk melegakan masalah ini.


Apabila kita terkena penyakit antireumatik dan kebas iaitu kesakitan atau pembengkakan pada otot atau sendi disebabkan terlebih mengambil makanan yang tinggi kandungan asid urik, maka orang dulu-dulu sering menggunakan daun pandan untuk membantu melegakan penyakit iaitu dengan cara mengambil beberapa keratan tumbuhan wangi ini seterusnya dicuci sehingga bersih dan dipotong atau dihiris. Kemudian, masukkan hirisan daun itu ke dalam minyak kelapa yang telah dididihkan sebelumnya yang disimpan dalam bekas dan digaul sehingga sebati. Sebaik sahaja ia sejuk, bahan minyak itu boleh dijadikan sebagai bahan sapuan untuk mengurut bahagian tubuh badan yang mengalami penyakit itu,
Selain itu, daun pandan ini juga dikatakan boleh membantu untuk menormalkan semula tekanan darah. Caranya adalah dengan merebus dua cawan air dengan 10 gram daun pandan. Minum separuh air rebusan ini pada waktu pagi dan selebihnya pada waktu petang.
Salah satu kebaikan daun pandan adalah ia bersifat antikanser. Ia dikatakan mampu untuk menawarkan kesan toksin dan menghalang perkembangan sel kanser. Dikatakan juga dengan meminum dua atau tiga cawan air rebusan daun pandan setiap hari akan membantu mengurangkan masalah kemurungan dan tekanan.
Daun pandan bukan sekadar pewangi dan perasa masakan semata-mata kerana ia juga mempunyai pelbagai khasiatnya yang tersendiri seperti yang telah disenaraikan. Walaupun tahap keberkesanannya belum terbukti sepenuhnya, tidak salah jika kita mencubanya kerana ia sendiri merupakan herba semula jadi, bukan?