Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daus papar perpisahan melalui video muzik

    Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan, Daus Eli, 32, menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya menerusi single dan video muzik Takdir Kita.

    Malah, tidak keterlaluan, video muzik Takdir Kita memaparkan 60 peratus kisah perkahwinan dan perceraiannya yang pernah menjadi kecaman ramai dan disalah tafsir. Video muzik itu dilancarkan secara rasmi menerusi saluran YouTube Nova Music Videos, baru-baru ini.

    Kerjaya nyanyian Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli dilihat merudum selepas dikecam menceraikan bekas isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan yang ketika itu baru dua minggu melahirkan anak ketiga, tahun lalu.

    Mereka bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Bintulu pada 1 Februari 2019 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz, 1 tahun.

    Daus berkata, dia memilih menjawab tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya menerusi paparan dalam video muzik Takdir Kita arahan Azuad Abdullah.

    Kerjaya nyanyian Daus merudum selepas dikecam menceraikan bekas isteri yang ketika itu baru dua minggu melahirkan anak ketiga, tahun lalu. – Agensi

    “Jalan cerita video muzik ini adalah kisah benar kehidupan saya, tetapi tidak dipaparkan sepenuhnya. Saya masih mahu menjaga aib dan sensitiviti pihak keluarga. Saya tidak mahu menimbulkan sebarang isu kemudian hari. Cuma, jalan cerita ini adalah salah satu cara saya mahu mendekati masyarakat.

    “Apa yang pasti, segala persoalan terjawab dalam video muzik ini. Saya mahu memberitahu warganet, saya bukan berkahwin untuk bercerai. Jauh sekali, mempermainkan isu perkahwinan. Jika nak tahu, kenalah tonton video muzik Takdir Kita.

    “Sejujurnya, idea video muzik ini hasil cetusan rasa saya sendiri. Bagaimanapun, saya bersama pasukan pengurusan Nova Music berbincang untuk menambah baik supaya ia menjadi lebih menarik,” katanya kepada media.

    Daus berkata, dia sebak apabila mengimbau kenangan lama ketika penggambaran video muzik dilakukan.

    “Bohonglah, jika saya tidak sebak apabila mengimbau kenangan bersama bekas isteri. Ia bagaikan mengembalikan memori lama yang cukup terkesan di hati.

    “Bagaimanapun, saya cuba menahan hati supaya tidak terbawa-bawa dengan kesedihan yang mendalam.

    “Saya fikir, apa yang dipaparkan dalam video muzik ini bukan mengenai saya semata-mata, pasti ada insan lain yang pernah melalui pengalaman yang sama. Ibaratnya, saya mewakili perasaan mereka yang pernah berdepan dengan pergolakan rumah tangga dalam video muzik ini.

    “Walaupun saya tidak meraung, tetapi kesedihan pasti dirasai menerusi babak yang dilakonkan dalam video muzik ini,” katanya.

    Mengulas tidakkah bimbang dianggap masih belum ‘move on’, Daus berkata, dia ada jawapan tersendiri.

    “Sebenarnya, saya sudah lama ‘move on’. Namun, Nova Music berminat apabila saya memperdengarkan single Takdir Kita.

    “Alasan utama, lagu ini lebih matang dan kena dengan peredaran muzik semasa. Ditambah pula, ia ada kaitan dengan kehidupan saya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda