LONDON, 15 JUN – Bekas kapten bola se-pak England dan ikon fesyen global, David Beckham telah dikurniakan darjah kebesaran kesatria pada Jumaat sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam bidang sukan dan kerja amal, bersama penyanyi kumpulan The Who, Roger Daltrey dan pelakon Gary Oldman yang turut menerima anugerah tersebut.
Beckham, yang telah mencatat 115 penampilan bersama skuad England serta pernah beraksi untuk beberapa kelab ternama dunia termasuk Manchester United dan Real Madrid, kini akan dikenali dengan gelaran ‘Sir’, manakala isterinya, Victoria bekas anggota kumpulan pop Spice Girls akan dikenali sebagai Lady Beckham.
Bekas pemain berusia 50 tahun itu telah lama dicalonkan untuk darjah kebesaran tersebut dan sebelum ini telah dilantik sebagai pegawai dalam Order of the British Empire (OBE) pada tahun 2003 satu darjah lebih rendah dalam sistem anugerah diraja Britain.
Victoria kemudiannya menerima anugerah yang sama atas sumbangannya dalam industri fesyen.
“Membesar di timur London bersama ibu bapa dan datuk nenek yang sangat patriotik serta bangga menjadi rakyat Britain, saya tidak pernah terbayang akan menerima penghormatan ini,” kata Beckham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Press Association.
“Saya amat bertuah kerana dapat melakukan pekerjaan yang saya cintai dan saya bersyukur kerana dihargai atas kerja yang memberi saya begitu banyak kepuasan,” tambahnya.
Daltrey, yang mengasaskan kumpulan The Who pada tahun 1964, turut menerima gelaran ‘Sir’ setelah diiktiraf atas sumbangannya dalam bidang muzik dan amal jariah menerusi senarai anugerah sempena Hari Keputeraan Raja Charles III.
Penyanyi berusia 81 tahun itu telah menjadi penaung kepada Teenage Cancer Trust sejak tahun 2000 dan telah menganjurkan konsert kutipan dana di Royal Albert Hall, London selama lebih dua dekad. – AFP
