Monday, February 3, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    David Benavidez pertahan gelaran WBA

    LAS VEGAS, 2 FEB – David Benavidez menyatukan kejuaraan light heavyweight dengan meraih keputusan sebulat suara ke atas pencabar David Morrell semalam, untuk mengekalkan tali pinggang WBC dan memenangi gelaran WBA.

    Pengadil Patricia Morse Jarman dan Steve Weisfeld kedua-duanya memberi keputusan 115-111, manakala Tim Cheatham mencatatkan 118-108.

    Skor Cheatham lebih menggambarkan apa yang berlaku di atas gelanggang, apabila Benavidez (30-0) mendominasi hampir setiap pusingan, kecuali pusingan ketiga dan ke-11.

    “Ini dunia ‘El Monstro’,” kata Benavidez, yang digelar Raksasa Mexico.

    “Syabas kepada Morrell. Saya tahu dia sukar, sebab itu saya berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pertarungan ini. Saya gembira kami dapat memberikan peminat tontonan menarik malam ini.”

    David Benavidez melepaskan tumbukan kiri kepada David Morrell dalam perlawanan tinju kejuaraan light heavyweight pada 1 Februari, di Las Vegas. – AP

    Menggunakan susuk badannya yang tinggi dan pukulan kencang dari setiap sudut, Benavidez menyerang dari kepala ke badan, sambil terus menyerang kedua-dua mata Morrell.

    Menurut CompuBox, Benavidez melepaskan 48 peratus daripada tumbukan kuatnya, sementara 76 daripada 224 tumbukannya adalah serangan di badan.

    “Saya bersedia untuk segala-galanya, saya tahu dia adalah petinju hebat,” kata Benavidez.

    “Ini adalah kemenangan terbesar dalam kerjaya saya, lihat semua orang yang datang menyokong saya.”

    Benavidez hampir rebah pada pusingan ke-11 apabila Morrell melepaskan tumbukan kanan. Benavidez tersungkur dan disebabkan sarung tangannya tersentuh kanvas, ia dikira sebagai jatuh.

    Namun, Morrell ditolak satu mata selepas dia menumbuk kepala Benavidez selepas loceng berbunyi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda