LONDON – Drake, Beyonce, Emeli Sande dan kumpulan hip-hop, A Tribe Called Quest, masing-masing menerima pengiktirafan pada Anugerah Brit 2017 yang berlangsung baru-baru ini.
Kejayaan mereka tiba selepas setahun penganjur dikritik hebat kerana tidak mencalonkan mahupun memberikan kemenangan kepada seorang pun artis kulit hitam dalam kategori United Kingdom (UK).
Begitupun, kemenangan kedua-dua artis, Beyonce dan A Tribe Called Quest, berlalu begitu saja tanpa sedikit pun penghargaan.
Kedua-dua artis terbabit tidak menyaksikan video kemenangan mereka dimainkan dan penonton juga takkan perasan kejayaan masing-masing jika pandangan dialihkan sekejap daripada skrin televisyen.
Apa pun, mendiang David Bowie muncul antara pemenang terbesar pada acara kali ini apabila mengungguli dua daripada kategori utama, iaitu Artis Solo British Terbaik dan Album Terbaik British menerusi Blackstar.
Pelakon Amerika, Michael C Hall, yang membintangi muzikal oleh Bowie, Lazarus, menerima trofi pertama terbabit bagi pihak bintang legenda berkenaan.
Ketika berucap aktor itu berkata, ia satu pengiktirafan buat lelaki yang kuat berpegang kepada imaginasi tanpa sempadan dan berani.
Anugerah kedua pula diterima oleh anak lelaki Bowie, Duncan Jones, yang juga seorang pengarah.
“Saya kehilangan bapa saya pada tahun lalu, tetapi saya juga menjadi seorang ayah. Selepas mampu menangani kejutan itu, saya menghabiskan banyak masa berusaha untuk memastikan apa yang saya mahu anak saya ketahui mengenai datuknya. Dia selalu membantu mereka yang berasakan diri masing-masing agak pelik, aneh dan berbeza. Anugerah ini adalah untuk semua yang sentiasa menyokong kerjaya ayah saya,” katanya ketika menerima trofi itu.
Pada majlis anugerah berkenaan, montaj penghargaan buat pemuzik yang meninggal sepanjang 2016 turut dimainkan, termasuk Prince dan Leonard Cohen, dengan vokalis Coldplay, Chris Martin, menyanyikan lagu A Different Corner oleh George Michael.