LONDON, 12 NOV – Pengadil Liga Perdana Inggeris telah digantung selepas video di media sosial menunjukkan dia membuat kenyataan menghina bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
David Coote digantung serta-merta sementara siasatan penuh dijalankan, menurut badan yang mengawal selia pengadil Inggeris, Pegawai Perlawanan Permainan Profesional Limited (PGMOL), kelmarin.
Dua video, yang dirakam menggunakan telefon, tersebar di media sosial kelihatan menunjukkan Coote memberikan pendapat peribadinya mengenai Klopp dan Liverpool apabila ditanya oleh seorang lagi lelaki yang tidak dikenali.
Individu yang dipercayai Coote menggunakan kata-kata kesat untuk merujuk kepada Liverpool dan istilah yang menghina Klopp, mengatakan dia tidak menyukai pengurus Jerman itu kerana dianggap ‘angkuh’ dan ‘menuduh saya berbohong’ selepas satu perlawanan.
Tidak jelas bila rakaman itu dibuat atau sama ada ia telah dimanipulasi.
Dalam video pendek lain, yang mungkin dirakam selepas video pertama, kedua-dua individu dalam video itu menekankan pentingnya untuk tidak mengongsikan rakaman itu.
Coote adalah pengadil rasmi untuk perlawanan liga terkini Liverpool, iaitu kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa pada malam Sabtu.
Tiada komen segera daripada Liverpool berhubung video tersebut. – AP