KUALA LUMPUR, 8 OGOS – Keputusan penerbit dan komposer terkemuka dunia, David Foster mengundang penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk sama-sama membuat persembahan dengannya pada konsert malam tadi, terbukti tidak sia-sia.
Siti Nurhaliza, yang mempersembahkan lagu nyanyian asal Celine Dion, The Power of Love, memukau kira-kira 3,000 penonton yang hadir pada konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, Sungei Wang hingga membuatkan mereka berdiri dan memberi tepukan gemuruh.
David yang mengiringi persembahan berkenaan dengan petikan piano turut terpegun dengan kelunakan suara penyanyi asal Kuala Lipis, Pahang itu dan secara spontan meminta Siti Nurhaliza mendendangkan satu lagi lagu ciptaannya All By Myself yang juga dipopularkan Celine Dion. – Bernama
