Komposer dan figura muzik terkenal, David Foster, menimang cahaya mata keenam pada usia 72 tahun selepas isterinya yang juga penyanyi Katharine McPhee, selamat melahirkan anak lelaki pada Khamis lalu.
Menurut wakil jurucakap penyanyi itu, Katharine, 37, dan anak damitnya kini berada dalam keadaan sihat.
“Katharine McPhee dan David Poster telah menyambut anak damit lelaki yang sihat. Semuanya kini berada dalam keadaan baik,” ujar wakil berkenaan.
Ini merupakan anak pertama pasangan itu. Hasil perkahwinan terdahulu, David mempunyai lima anak perempuan iaitu Erin, Amy, Sara, Allison Jones dan Jordan.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2019 selepas kali pertama bertemu pada tahun 2006 menerusi program American Idol musim kelima yang disertai Katharine. – Agensi