MOSCOW, 11 NOV – Penulis Hungary-Britain, David Szalay diumumkan sebagai pemenang Anugerah “Booker 2025” menerusi novel terbaharunya berjudul Flesh, menurut laman rasmi anugerah berprestij itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Flesh karya David Szalay memenangi Anugerah Booker 2025,” menurut kenyataan di laman berkenaan.
Ketua juri, Roddy Doyle berkata Szalay yang pernah disenarai pendek untuk anugerah itu pada 2016 menerima pengiktirafan berkenaan atas “sebuah karya luar biasa, unik dan gelap, namun penuh kenikmatan untuk dibaca,” menurut laporan laman rasmi itu.
Anugerah Booker mula diperkenalkan pada 1968 dan dianugerahkan setiap tahun sejak 1969.
Sebelum ini, hanya warganegara United Kingdom (UK), Ireland dan negara-negara Komanwel layak menerima pengiktirafan terbabit.
Selepas peraturan disemak semula pada 2014, Anugerah Booker dibuka kepada penulis dari mana-mana negara, dengan syarat karya yang dinilai diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh penerbit rasmi di United Kingdom pada tahun anugerah tersebut.
Pemenang pertama anugerah itu pada 1969 ialah penulis British Percy Howard Newby menerusi novel Something to Answer For.
Antara penulis terkenal yang pernah menjadi finalis Anugerah Booker termasuk Iris Murdoch, Salman Rushdie, Kazuo Ishiguro, William Golding dan Margaret Atwood. – Bernama


