MUNICH, 5 FEB – Alphonso Davies melanjutkan kontraknya bersama Bayern Munich hingga 2030, umum kelab Jerman itu kelmarin, dengan kapten Kanada itu menolak minat yang dilaporkan daripada gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Pemain bek sayap berusia 24 tahun itu memenangi lima gelaran Bundesliga dan Liga Juara-jJuara bersama Bayern tetapi sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real, kerana kontraknya bakal tamat pada musim panas.
Pelanjutan kontrak selama lima tahun ini akan memastikan Davies kekal di kelab yang disertainya dari kelab MLS, Vancouver Whitecaps, ketika berusia 18 tahun pada 2019.
Dalam satu kenyataan, Davies berkata dia telah “mencapai banyak perkara di sini, tetapi masih ada lagi yang menanti,” sambil menambah, “Saya menantikan lima tahun lagi bersama.”
Perjanjian itu diumumkan sehari selepas Bayern turut memberikan lanjutan kontrak selama setahun kepada kapten dan penjaga gol mereka, Manuel Neuer, 38, yang akan mengekalkannya di kelab hingga 2026.
Media Jerman kelmarin melaporkan beberapa pelanjutan kontrak lain juga sedang dirunding oleh Bayern, termasuk untuk Jamal Musiala dan Joshua Kimmich.
Davies kini sedang menjalani pemulihan akibat kecederaan hamstring yang dialaminya pada Januari dan dijangka tidak akan kembali sehingga penghujung Februari.
Dia telah bermain 220 perlawanan untuk Bayern, terutamanya sebagai bek sayap tetapi juga di bahagian serangan, dengan rekod 12 gol dan 34 bantuan jaringan.
Pengarah sukan Bayern, Christoph Freund, berkata perjanjian tersebut “menunjukkan status Bayern dalam bola sepak antarabangsa dan bahawa Alphonso telah menemui rumah sukan yang sesuai di Munich.” – AFP