Pengacara Dayah Bakar berkongsi khabar gembira apabila memaklumkan sedang hamil anak kedua dan usia kandungan sudah memasuki trimester kedua, lapor mStar.
Mendedahkan perkara itu sebagai kejutan buat suami, Dayah atau Nur Hidayah Abu Bakar, 34, menyifatkan pendedahan itu istimewa memandangkan Ogos adalah bulan kelahiran dia dan anak sulung, Achbar Muhammad Fahri yang kini berusia 3 tahun.
“Ogos adalah bulan istimewa buat saya dan Fahri. Dengan rendah diri dan izin Allah, Fahri akan jadi abang. Usia kandungan sekarang sudah masuk trimester kedua.
“Saya mohon doa, kesihatan, keselamatan untuk diri sendiri dan anak serta kemudahan bersalin kelak. Ini sangat bermakna buat kami,” katanya.
Dayah menulis perkara tersebut di Instagram miliknya semalam berserta video memperlihatkan dia membuat kejutan buat suami, Muhammad Hanif Hamidi.
Menerusi perkongsian tersebut, Dayah meminta suami menyebut perkataan i am pregnant dan Hanif dilihat seakan tidak percaya mereka bakal menimang cahaya mata kedua.
Dayah turut menunjukkan alat ujian kehamilan kepada Hanif sebelum mereka berpelukan melafazkan syukur atas berita gembira itu.
Dalam masa sama, Dayah turut mengucapkan penghargaan buat orang ramai yang selalu mendoakan kebaikan buatnya dan keluarga. – Agensi