Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dayang Hazirah terima Anugerah Pemimpin Belia berprestij

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Wakil Green Brunei, Dayang Hazirah binti Sufian menjadi antara peserta cemerlang pada edisi antarabangsa sulung bagi sidang kemuncak bertindak Global Citizen NOW yang diadakan pada 4 hingga 6 Mac lalu di Melbourne, Australia.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Green Brunei, sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Global Citizen itu menghimpunkan suara-suara terkemuka dan inovator dari rantau Asia Pasifik dan luar rantau untuk menangani cabaran global yang mendesak, khususnya tertumpu kepada memerangi kemiskinan tegar.

    Atas sumbangan teladan kepada pembangunan mampan dan advokasi alam sekitar, Dayang Hazirah telah menerima Anugerah Pemimpin Belia yang berprestij, mengiktiraf komitmennya untuk memacu perubahan positif.

    Bersama 31 orang pemimpin belia luar biasa lain dari seluruh rantau Asia Pasifik, beliau terlibat secara aktif dalam perbincangan dan inisiatif yang bertujuan untuk memupuk penyelesaian yang mampan kepada kemiskinan dan ketidaksamaan.

    Semasa sidang kemuncak itu, Dayang Hazirah menyertai pelbagai aktiviti, termasuk jamuan malam yang menampilkan bahan-bahan asli dan pembuatan damper bread tradisional.

    Dayang Hazirah semasa sidang kemuncak berkenaan. – GAMBAR SERAHAN GREEN BRUNEI

    Selain itu, beliau berpeluang berinteraksi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan melibatkan diri dengan tokoh terkenal seperti Menteri Belia Victoria, Natalie Suleyman dan Utusan Khas Amerika Syarikat (AS) untuk Isu Belia Global, Abby Finkenauer.

    Pengalaman menyerlah Dayang Hazirah adalah penyertaannya dalam fireside chat dengan Her Royal Highness the Duchess of York, Sarah Ferguson, pada hari kedua sidang kemuncak itu.

    Perbualan mereka menyelidiki peranan masing-masing dalam bidang advokasi alam sekitar dan meneroka jalan untuk kerjasama bagi memajukan lagi usaha itu.

    Global Citizen NOW: Melbourne berfungsi sebagai platform untuk memperkasa pemimpin muda seperti Dayang Hazirah bagi memacu perubahan bermakna pada skala global.

    Pengiktirafan beliau sebagai penerima Anugerah Pemimpin Belia menekankan kepentingan kepimpinan belia dalam menangani cabaran paling mendesak masa kini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda