Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Ideal Marketing (B) Sdn Bhd
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Dengan matlamat untuk memperkasakan lagi hubungan komersial dengan penggunaan keluaran produk telur-telur segar dari ladang dalam kalangan pelanggan setia di negara ini, Ideal Marketing (B) Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kesihatan telah mengadakan Pertandingan Membuat Kek semasa Festival Ideal yang diadakan dua hari di Little Soho, Jalan Batu Bersurat, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pertandingan yang turut menerima sumbangan daripada Ideal Group Holdings Sdn Bhd dan Le Apple Bakery itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah.
Pada peringkat akhir pertandingan yang diadakan pada 17 Januari, Dayang Nurulhuda binti Mohamed Said dengan kek Coffee Salted Caramel berjaya mengalahkan Dayang Bibi Amadah binti Haji Awang Rusli yang menghasilkan Coconut Almond Cake.
Turut berentap dalam pusingan sebelumnya pada 16 Januari ialah Dayang Maisara Ahmad dan Dayang Mona Adiliana binti Asmat.
Penyampaian hadiah dan sagu hati telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Ideal Group, Haji Awang Ahmad Morshidi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.
Pertandingan berkenaan adalah sebagai susulan kepada penjenamaan semula logo Kumpulan Syarikat-syarikat Ideal dan diharap akan mewujudkan kesedaran jenama kepada telur-telur segar dari ladang mereka.
Selain itu, ia bertujuan untuk sama-sama membuka minda pengusaha kek tempatan untuk meningkatkan perekonomian mereka dengan penggunaan bahan-bahan segar seperti telur sejajar dengan moto syarikat iaitu Good Eggs Bakes Good Cakes.