Meraikan 1 Syawal di perantauan takkan sama suasana di kampung halaman sendiri.
Justeru, tidak hairanlah budaya balik kampung bagaikan satu kemestian buat warga kota setiap kali menjelang Aidilfitri.
Bagi penyanyi, Dayang Nurfaizah yang sudah beberapa tahun meraikan Syawal di ibu kota, perasaan sama turut dirasakan.
Meskipun masih berpeluang berkumpul bersama keluarga, perasaan tidak sama berbanding meraikannya Syawal di kampung halaman di Sarawak.
“Dayang beraya di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun ini. Kali ini sekali lagi Dayang menyambutnya di ibu kota. Cuma, bezanya kali ini kami sekeluarga dapat berkumpul.
Hanya adik lelaki sahaja tidak dapat ikut serta kerana beraya di rumah keluarga mentua.
“Namun, tak dapat dinafikan suasana beraya di kampung halaman di Kuching sangat berbeza dan lebih seronok. Jujurnya, Dayang sangat rindu untuk beraya di kampung,” katanya kepada BH Online.
Mengimbau keseronokan menyambut Aidilfitri di Kuching, penyanyi bersuara gemersik ini mengakui kemeriahannya lebih kepada budaya kunjung mengunjungi yang diamalkan.
“Bila kita beraya di ibu kota, sambutan Syawal hanya dalam skala kecil. Dayang pula tinggal di kondominium, memang tiadalah tetamu yang datang kecuali keluarga terdekat.
“Kalau masak pun, ala kadar sahaja dan jarang berlebihan sangat. Namun, berbeza bila beraya di Kuching. Tiga hari sebelum Syawal kami sudah sibuk dengan persiapan membeli barangan dapur.
“Orang kata kemeriahan berhari raya di kampung halaman lebih besar. Bila dapat kumpul bersama sanak saudara, suasana seperti majlis kenduri,” kata penyanyi yang baru muncul dengan album Belagu 11 ini. – Agensi