Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dayang Shalizawati juara

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 20 Ogos – Dayang Shalizawati binti Osli telah merangkul kemenangan tempat pertama terbaik keseluruhan bagi Pameran/Pertandingan Kerjaya Wanita Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 Tahun Bagi Daerah Belait.

    Sementara itu, tempat kedua terbaik keseluruhan telah disandang oleh Dayang Noryah binti Haji Hussin dan di tempat ketiga ialah Dayang Nurul Shadatul Shima binti Shariffin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut ialah isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Mohd Salleh.

    Pameran dan pertandingan yang diadakan di kawasan lapang Menara Cendera Kenangan di sini, hari ini, dan dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Gubahan, Anyaman/Jahitan, Masakan dan Kuih-Muih itu terus mendapat sambutan dari segi penyertaannya pada setiap tahun.

    Pengerusi Persatuan Pertiwi Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, pertandingan masakan dan gubahan merupakan salah satu acara yang diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ia terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi penyertaannya.

    Dayang Suraya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama terbaik keseluruhan dengan disaksikan bersama oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi (kiri).
    Dayang Suraya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama terbaik keseluruhan dengan disaksikan bersama oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi (kiri).
    Tetamu kehormat tertarik dengan kecantikan kek aising yang dihasilkan oleh kaum wanita tempatan pada pameran dan pertandingan berkenaan.
    Tetamu kehormat tertarik dengan kecantikan kek aising yang dihasilkan oleh kaum wanita tempatan pada pameran dan pertandingan berkenaan.

    Setiap tahun, tambahnya, kaum wanita mampu memperlihatkan kebolehan dan kemahiran mereka dalam bidang masakan, gubahan, jahitan, reka bentuk dan sebagainya mengikut yang telah dikategorikan dalam pertandingan.

    “Pada tahun ini, sejumlah 35 jenis masakan, gubahan, anyaman/jahitan serta kuih-muih telah dipamerkan untuk pertandingan ini dan untuk menilai yang terbaik, seramai 20 orang hakim telah diundang bagi menentukan pemenang pertandingan hari ini, yang dinilai daripada rasa, kecantikan hiasan atau gubahan dan lainnya,” jelasnya.

    Di samping itu, pameran berkenaan turut dibukakan untuk orang ramai, seterusnya ada juga yang dijual sehingga waktu pameran berakhir kira-kira pukul 3 petang.

    Sejurus selepas menyempurnakan penyampaian hadiah, tetamu kehormat dengan diiringi oleh Pengerusi Persatuan Pertiwi dan ahli-ahli jawatankuasa lainnya serta kalangan jemputan yang hadir, telah meluangkan masa untuk menyaksikan pameran hasil daripada masakan, gubahan/jahitan, kuih-muih dan sebagainya yang telah dipertandingkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda