Penyanyi popular era 1990-an, Dayangku Intan menafikan khabar angin kononnya dia mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang buat suaminya pada 29 September 2018.
Menurut Dayang, dia dan suaminya, Rosman Yahil berada dalam keadaan sihat meskipun bekas luka pembedahan itu belum pun pulih sepenuhnya.
“Saya sendiri terkejut dengan berita komplikasi buah pinggang itu.
“Alhamdulillah saya dan suami berada dalam keadaan sihat sejak daripada pembedahan itu cuma bekas luka itu saja yang belum pulih sepenuhnya.”
Beliau menjelaskan kepada media, rasa sakit pada bekas luka pembedahan itu kadangkala terasa ketika setiap kali beliau ada melakukan persembahan nyanyian.

Jelasnya lagi beliau telah melakukan CT scan, dan semuanya dalam keadaan baik-baik saja.
Bercerita lanjut Dayang berkata, proses untuk sembuh sepenuhnya mungkin memakan masa yang agak lama gara-gara jadual hariannya yang begitu padat.
“Saya rasa ia memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk pulih sepenuhnya.
“Mungkin proses untuk sembuh itu terganggu kerana saya terlalu aktif dengan menyanyi, kerja dan terpaksa ulang-alik ke hospital.
“Lebih-lebih lagi apabila anak perempuan saya terpaksa melakukan pembedahan pemindahan hati pada 5 Februari nanti,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kita Insan Biasa ini memaklumkan anak ketiganya, Wanku Intan Syarafana, 23, pula terpaksa menjalani pembedahan pemindahan hati selepas terkena jangkitan bakteria yang berkemungkinan berpunca daripada kucing peliharaannya.
“Sebelum ini anak saya memang lahir tanpa hempedu (biliary atresia baby) jadi ia sesuatu yang kami memang dah jangka daripada dia kecil lagi.
“Tapi dia berjaya survive sampai umurnya mencecah 23 tahun… itupun terpaksa buat selepas ada gangguan bakteria pada hatinya.
“Sebelum ini dia dah sihat dan dah keluar daripada senarai untuk pemindahan hati cuma sebab ada gangguan bakteria berkemungkinan daripada kucing yang dibelanya.
“Adik dia (Wanku Mohd Ruknuddean, 22) akan bertindak sebagai penderma hati. Kalau dulu saya bagi buah pinggang pada ayah sekarang adik dia pula akan beri hati padanya,” katanya. – Agensi