Dayung kayu hiasan berusia 120 tahun

KUCHING, 13 JULAI – Muzium Brooke menambah satu lagi artifak bersejarah iaitu sebatang dayung kayu hiasan sepanjang 1.5 meter berusia 120 tahun, untuk dipamerkan di Galeri Brooke, Fort Margherita, sebuah kubu tentera yang dibina pada zaman pemerintahan Charles Brooke, Rajah Sarawak pada abad ke-19.

Pengurus Muzium Brooke Salliza Sideni berkata dayung itu adalah hadiah kepada Rajah Muda Anthony Brooke, berkemungkinan daripada pemimpin suku tempatan semasa lawatannya ke hulu di sepanjang Sungai Sarawak.

“Pengenalan artifak ini adalah bersempena dengan ulang tahun ke-140 tahun Fort Margherita yang merupakan mercu tanda ikonik di bandar ini, dan pembukaan semula Galeri Brooke (berikutan penutupan empat bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)) hari ini,” katanya kepada pemberita di muzium itu di sini.

Kubu bersejarah ini yang diubah menjadi muzium, dibuka kepada orang ramai pada 2016 dan menjadi satu daripada tarikan pelancongan di negeri ini, tetapi terpaksa ditutup kira-kira empat bulan bagi mematuhi PKP untuk membendung penularan jangkitan COVID-19.

Salliza berkata beberapa aktiviti menarik menanti pelancong bersempena dengan pembukaan semula muzium itu, dengan banyak artifak dan imej sejarah Sarawak khususnya semasa zaman Brooke, dipamerkan. – Bernama

Pengurus Muzium Brooke, Salliza Sideni menunjukkan dayung kayu hiasan berusia 120 tahun untuk dipamerkan di Galeri Brooke, Fort Margherita, kelmarin. – Bernama