DBKL benarkan pasar harian, pasar malam, bazaria beroperasi

KUALA LUMPUR, 7 JUN – Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk membenarkan operasi pasar terbuka atau pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat bermula 15 Jun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pembukaan pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria itu tertakluk kepada kelulusan untuk beroperasi bagi lokasi-lokasi secara terpilih.

“Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL mulai Rabu ini dan mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan DBKL, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Tindakan penutupan serta-merta sekiranya gagal mematuhi syarat dan SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh PKPP, pihaknya di bawah peruntukan Undang-undang Kecil (UKK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh dari semasa ke semasa mengenakan syarat tambahan ke atas lesen dengan mengubah atau membatalkan syarat yang dikenakan ke atas lesen itu.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk menyita peralatan penjajaan dan menutup pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam atau bazaria di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 boleh dilakukan.

“Tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya. – Bernama

Kelihatan warga kota telah mula melakukan aktiviti luar seperti mengunjungi pusat beli-belah, beriadah di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan kelmarin. – Bernama