Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    DBKL keluar 41 kompaun terhadap jurufoto tidak berlesen

    KUALA LUMPUR, 28 JULAI – Sebanyak 41 kompaun dikeluarkan terhadap individu didapati menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen menerusi Operasi Bersepadu Lens (Ops Lens) yang dijalankan di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC, malam tadi.

    Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), operasi berkenaan bertujuan memantau dan mengambil tindakan susulan terhadap kegiatan jurufoto tanpa kelulusan sah yang dijalan secara terbuka di tempat awam.

    DBKL memaklumkan operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

    “Menerusi penglibatan agensi-agensi sahabat, semakan terhadap individu turut dibuat bagi mengenal pasti sebarang rekod jenayah, kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan. Menerusi semakan yang dibuat, tiada sebarang penahanan dilakukan pada operasi kali ini,” menurut kenyataan itu.

    DBKL menegaskan, ruang awam adalah milik bersama dan harus digunakan secara beretika, tertib dan mematuhi peraturan sedia ada.

    “Aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.

    “Sebahagian daripada kegiatan ini dijalankan atas jalan raya atau laluan pejalan kaki, yang bukan sahaja membahayakan jurugambar dan pelanggan, tetapi juga mengganggu kelancaran pergerakan awam,” menurut DBKL.

    DBKL juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sitaan terhadap peralatan dan barangan sekiranya aktiviti ini terus dijalankan secara berulang tanpa kebenaran.

    “Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni untuk semua,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda