Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Bengkel Pemantapan Tatabahasa Bahasa Melayu (BPTBM) selama dua hari anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam (DBP) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa telah dirasmikan di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas pagi tadi.
Majlis perasmian bengkel berkenaan dimulakan dengan bacaan doa, diikuti sesi membaca buku selama 10 minit dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian oleh Pemangku Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Menurut Dayang Hajah Haireni, pengungkayahan bengkel berkenaan yang julung kali diadakan merupakan antara inisiatif dan tindakan jabatan untuk memantapkan dan meningkatkan pengetahuan tatabahasa bahasa Melayu dalam kalangan pegawai serta kakitangan daripada warga DBP sendiri dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain.
Beliau berkata, bengkel ini dihasratkan akan mampu melahirkan penyunting, pengarang dan penyemak yang dapat menguasai serta memiliki pengetahuan tatabahasa bahasa Melayu dengan baik dan betul. Ini bermakna, keupayaan menguasai dan memiliki pengetahuan tatabahasa bahasa Melayu tersebut secara tidak langsung akan mampu menghasilkan penyuntingan dan penulisan yang berkesan serta berkualiti.
Beliau juga percaya dengan adanya bimbingan daripada Penolong Profesor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Hasmidar binti Hassan sebagai fasilitator, para peserta akan berpeluang mempelajari aturan-aturan tatabahasa dengan efektif dalam memperbaiki dan memurnikan penggunaan bahasa Melayu masing-masing.
Bengkel berkenaan mencakupi bidang morfologi, sintaksis, semantik, terutama dalam aspek ejaan dan pembinaan ayat yang gramatis, kaedah penulisan terkini dan mengenal pasti kelemahan dan kesalahan yang lazim dilakukan dalam penyuntingan dan penulisan.
Peserta-peserta bengkel berkenaan terdiri daripada pegawai-pegawai dan warga kerja DBP, Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri yang terbabit dalam kerja-kerja suntingan.
Antara peserta yang hadir ke bengkel tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI