Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengungkayahkan Kejohanan Futsal antara Rumah-rumah KKBS bermula pada 4 hingga 14 November di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian kejohanan futsal ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), KKBS, Pengiran Mohamad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku pengerusi majlis berkenaan, beliau mengongsikan sebanyak dua kategori telah dipertandingkan bagi kejohanan tersebut, iaitu Kategori Lelaki Terbuka dan Kategori Lelaki Veteran.
Sebanyak lima pasukan rumah, iaitu Bunga Putar, Arap Gegati, Sukma Indera, Silubang Bangsi dan Liputan Madu yang terdiri daripada warga KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya akan berentap dan bersaing bagi merebut pingat emas, perak dan gangsa.
Beliau menambah, “Mendayaupayakan Bersama Ke Arah Warga Sihat kejohananan tersebut dapat menjadi pencetus dan pemangkin untuk menggerakaktifkan penglibatan pegawai dan kakitangan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya dalam kegiatan kesukanan menerusi pembahagian rumah-rumah yang menggabungkan pegawai dan kakitangan dari pelbagai jabatan dan bahagian.”
Penyatuan warga KKBS berserta jabatan-jabatan di bawahnya ini juga merupakan ruang dan peluang yang cukup bermakna dalam memantapkan lagi jalinan ukhwah dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan pegawai dan kakitangan.
DBP berpeluang menyelenggarakan kejohanan futsal pada tahun ini dengan tumpuan bagi mencari pemain-pemain pelapis yang berpotensi untuk diangkat sebagai wakil pemain bagi KKBS yang akan ikut bertanding dalam kejohanan futsal antara kementerian-kementerian.
“Alhamdulillah, dalam Kejohanan Futsal sempena Hari Perkhidmatan Awam kali ke-29 pada tahun 2022 yang lepas, KKBS bagi Kategori Veteran telah berjaya meraih naib johan,” ujar Awang Suip.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya berserta keluarga.