Thursday, March 13, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    DBP anjur program membaca Al-Quran 60 minit

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Program 60 Minit Bersama Al-Quran secara fizikal di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Berakas dan secara maya menerusi laman sosial DBP hari ini, setentunya merupakan salah usaha DBP dalam memupuk budaya membaca dan menggalakkan masyarakat yang beragama Islam di negara ini untuk mengisi masa lapang dengan membaca Al-Quran.

    Program anjuran DBP melalui Bahagian Perpustakaan berkenaan dihadiri oleh tetamu kehormat majlis iaitu Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Program diserikan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar yang dipimpin oleh para pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Seterusnya, ceramah bertajuk 60 Minit Bersama Al-Quran disampaikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Kamaru Salam bin Yusof.

    Program diteruskan dengan bacaan Al-Quran yang secara serentak selama 60 minit oleh seramai 607 peserta secara fizikal dan secara maya. Ayat-ayat yang dibaca termasuk daripada Juzuk 3, Surah Al-Baqarah, ayat 253 hingga Surah Ali Imran, ayat 92.

    Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk meraih berkat dan ganjaran pahala dalam bulan Ramadan dengan membawa orang ramai meluangkan masa selama 60 minit untuk membaca dan mendengar bacaan ayat Al-Quran.

    Program berkenaan juga diharap dapat menambah ilmu, memberi manfaat dan mengeratkan lagi ukhuwah sesama muslim khususnya pegawai, kakitangan, jemputan dan orang ramai yang mengikuti program berkenaan.

    Turut hadir secara fizikal dan secara maya ialah ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan kerajaan dan sektor swasta, para pelajar institusi pengajian tinggi, murid-murid sekolah,ahli-ahli persatuan dan juga orang ramai.

    Dr Kamaru Salam menyampaikan ceramah semasa program berkenaan.

    Suasana sekitar acara berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda