Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku Sekretariat Mastera Brunei Darussalam mengadakan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), 2024 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga esok bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Walsahfelah, juga selaku pembentang ucaptama, sekali gus menyampaikan sijil dan cenderamata kepada pemakalah dan moderator.
Seminar dimulakan pada sebelah pagi dengan pembentangan sesi pertama dan kedua, manakala pada sebelah petang, diadakan pembentangan sesi ketiga dan ucaptama.
Sebelum pembentangan ucaptama, majlis didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, selaku Pengerusi Mastera Brunei Darussalam.
Menurut Hajah Haireni, SAKAT 2024 merupakan salah satu rangkaian kegiatan Mastera ke-28 yang turut dilaksanakan pada tahun ini.
Pelaksanaan seminar tersebut membuka ruang dan peluang kepada perkongsian serta penyebaran ilmu yang berharga bukan sahaja daripada para pakar, cendekiawan dan intelektual dari negara anggota Mastera, malah juga dari negara Jerman.
Beliau menambah, “Sastera sejak sekian lama mengalami transformasi dari pelbagai sudut, baik dalam konteks genre, kandungan mahupun produk.
“Pengurusan sastera jika dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, bukan sahaja mampu menyumbang kepada perkembangan industri kreatif, bahkan produk sastera akan menjadi entiti ekonomi yang produktif, kondusif dan mapan.
“Alhamdulillah, SAKAT 2024 pada tahun ini berpeluang mengetengahkan tema Tranformasi Sastera dalam Ekonomi Kreatif yang antara lain akan membincangkan dan membahaskan mengenai potensi sastera dalam menjana ekonomi, mengeratkan jalinan hubungan sastera dan budaya dalam lingkungan negara Asia Tenggara, memperkembangkan sastera dalam industri kreatif, serta memacu kebolehdayaan sastera Melayu di tahap pasaran global.
“Seminar pada petang itu juga kita akan berpeluang mendengarkan ucaptama daripada Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah yang akan menyampaikan perbincangan mengenai Transformasi Sastera dalam Ekonomi Kreatif,” ujarnya lagi.
Dayang Hajah Haireni juga berkata, hasil pembentangan daripada pemakalah- pemakalah SAKAT 2024 ini, akan mengemukakan dan mengetengahkan beberapa perkara untuk kita ambil perhatian terhadap usaha meningkatkan fungsi dan sumbangan sastera kepada pembangunan ekonomi.
SAKAT 2024 merupakan antara rangkaian kegiatan utama Sidang ke-28 Mastera, selain Festival Teater Mastera (Apresiasi Naskhah Drama) dan Penganugerahan Anugerah Sastera Mastera ke-7 2024.
Seminar tersebut menampilkan pembentang-pembentang dari negara anggota Mastera, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura, serta pembentang jemputan dari Jerman.