Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengungkayahkan Pantaran Sastera DBP: Sesi Kongsi Ilmu Bersama Alumni Program Penulisan Mastera 2023: Naskhah Drama secara dalam talian aplikasi Zoom kelmarin.
Sesi itu mengetengahkan tiga ahli panel, iaitu Awang Mohammed Zefri Ariff bin Zain Ariff selaku salah seorang pembimbing program; Awangku Muhammad Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun dan Awang Muhammad Khairul Insan bin Haji Mardini selaku peserta Program Penulisan Mastera 2023: Naskhah Drama bagi tahun 2023.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DBP, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Raden.
Sesi kongsi ilmu ini merupakan satu usaha memasyarakatkan Mastera selaras dengan perancangan strategik Mastera dalam menyebarluaskan peranan dan fungsi Mastera, melalui alumni Program Penulisan Mastera yang berpengalaman.
Di samping itu, ia juga sebagai wadah dan wacana perkongsian ilmu khususnya kepada penulis muda yang berminat dalam penulisan naskhah drama pentas dan juga penggiat seni teater yang tidak berpeluang mengikuti Program Penulisan Mastera: Naskhah Drama.
Melalui sesi ini, penulis muda yang berminat dalam penulisan naskhah drama dan penggiat seni teater dapat belajar dari segi proses ilmu penciptaan naskhah drama pentas, teknik penulisan skrip sehinggalah kepada teknik pementasan teater.
Program Penulisan Mastera 2023 anjuran Mastera Indonesia telah diadakan pada 28 Ogos hingga 1 September 2023 di Hotel Mercure Convention Centre Ancol, Jakarta.
Peserta yang terdiri daripada sasterawan muda berkesempatan memperluaskan wawasan dan kemahiran teknik penulisan, dengan bimbingan khusus daripada tokoh-tokoh sasterawan negara anggota Mastera, di samping menimba dan bertukar pengalaman kreatif sesama peserta dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
