Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DBP ‘B’, KKBS ungguli kejohanan futsal KKBS

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Pasukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ‘B’ dinobatkan sebagai johan dalam Kategori Terbuka Kejohanan Futsal Piala Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) 2020 bagi jabatan-jabatan di bawah KKBS yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

    Dalam perlawanan akhir petang tadi, Pasukan DBP ‘B’ berjaya mengalahkan Pasukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan keputusan 1-0 sekali gus menjadikan Pasukan JAPEM terpaksa akur berada di tempat kedua selaku naib johan pada Kategori Terbuka.

    Sementara itu tampil di tempat ketiga ialah Pasukan Pusat Sejarah Brunei ‘A’.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Dalam kategori berasingan pula iaitu bagi Kategori Veteran 45 ke atas, Pasukan KKBS telah dinobatkan sebagai juara apabila berjaya menewaskan Pasukan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) ‘A’ pada perlawanan akhir dengan keputusan 3-1.

    Meskipun Pasukan JBS ‘A’ berjaya mendahului Pasukan KKBS pada babak separuh masa pertama, ternyata semangat Pasukan KKBS yang turut disertai oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud tersebut jelas terbukti dengan melakukan beberapa serangan balas sehinggalah menghasilkan dua biji gol pada separuh masa pertama perlawanan dan sebiji lagi gol dijaringkan pada babak kedua perlawanan berlangsung.

    Pasukan JBS ‘A’ terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua sementara pasukan JBS ‘B’ pula muncul di tempat ketiga dalam Kategori Veteran tersebut.

    Turut hadir bagi menyaksikan acara tersebut pada petang tadi ialah Timbalan Setiausaha Tetap, (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said selaku penasihat kejohanan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa bergambar ramai bersama para peserta.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda