Oleh Yusrin Junaidi dan Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 23 APRIL – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) petang tadi mengungkayahkan Majlis Sambutan Hari Buku Sedunia 2025 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, di Lapangan Terbang Lama Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, yang juga melancarkan buku digital, buku-buku terbaharu terbitan DBP, seterusnya menyampaikan sijil dan cenderamata.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku pengerusi majlis.
Antara pengisian acara pada petang itu ialah pelancaran lima buah buku terbaharu terbitan DBP dan 40 buah buku digital, serta sesi ceramah yang disampaikan oleh Ketua Kaunselor di Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Leftenan (B), Awang Diny bin Haji Karim, yang juga merupakan Presiden Persatuan Pendidikan dan Kaunseling (PEKA), Brunei.
Majlis berkenaan adalah sebagai salah satu lagi usaha besar dan strategik jabatan untuk menginspirasi masyarakat agar mencintai buku dan suka membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan seluruh masyarakat amnya.






Usaha itu juga merupakan upaya jabatan dalam menekankan lagi tentang kepentingan membaca sebagai jambatan ilmu kepada semua kalangan masyarakat. Sambutan kali ini mengangkat tema Bacalah dengan Gayamu.
Majlis berkenaan juga menyahut hasrat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku Sedunia dengan tujuan untuk menggalakkan budaya membaca, penerbitan dan pemeliharaan hak cipta buku.
Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, ketua-ketua jabatan, para penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, rakan strategik DBP serta penerbit-penerbit tempatan.
Pada tahun ini, DBP sekali gus akan mengadakan Dudun DBP Sempena Hari Buku Sedunia ke Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 10 Mei.Sementara itu, acara serupa juga di adakan hari ini di Daerah Belait yang mana pelajar dari Mukim Seria, Mukim Liang dan Mukim Labi berkumpul bagi memeriahkan sambutan Hari Buku Sedunia, di Perpustakaan DBP Seria.
Program dimulakan dengan sesi bacaan senyap selama 10 minit sebelum para pelajar disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dikendalikan oleh kakitangan perpustakaan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah sesi bercerita dan aktiviti inspirasi bertajuk Jika Saya Seorang Penulis.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif peringkat kebangsaan yang bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Ia juga menekankan kepentingan program seperti Hari Buku Sedunia dalam menanam minat membaca sepanjang hayat dalam kalangan pelajar muda.