Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai lebih 20 orang pegawai dan kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri taklimat Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) bersama Pegawai dan Kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang berlangsung di Balai Sarmayuda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, baru-baru ini.
Taklimat yang diadakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), dimulakan dengan menyaksikan tayangan video berkaitan kejadian bencana yang memaparkan situasi sebenar dan kesan bencana terhadap masyarakat.
Sesi diteruskan dengan pembentangan taklimat CBDRM yang disampaikan oleh Disaster Management Officer, Planning & Analysis Division, National Disaster Management Centre (NDMC) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Siti Joriahati binti Johari, yang menerangkan dengan lebih lanjut lagi mengenai Program CBDRM yang telah dilaksanakan oleh NDMC sejak 2010.
Bagi menggalakkan penglibatan para peserta taklimat, kuiz interaktif dan sesi soal jawab turut diadakan yang membolehkan para peserta mengajukan soalan berkaitan Program CBDRM dan Pengurusan Bencana di negara ini.

Sesi taklimat diikuti dengan Aktiviti Praktikal Penyediaan Beg Kecemasan (Emergency Grab Bag), yang buat pertama kalinya diperkenalkan pada 2025 semasa Taklimat CBDRM bersama Pegawai dan Kakitangan DBP.
Aktiviti itu diilhamkan daripada amalan terbaik yang diperoleh hasil penyertaan Pegawai NDMC dalam kursus luar negara berkaitan pengurusan bencana dan kemudiannya diaplikasikan di negara ini semasa taklimat kali ini.
Para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan, di mana setiap kumpulan berbincang bagi mengenal pasti barang-barang yang paling penting dan utama untuk disediakan dalam beg kecemasan.
Setelah itu, setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka yang kemudiannya diulas oleh penyampai taklimat untuk meningkatkan kefahaman para peserta mengenai persediaan sebelum berlakunya bencana.
Penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada penyampai taklimat juga diadakan yang mana penyampaian berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, kepada Penyampai Taklimat CBDRM sebagai penghargaan atas perkongsian ilmu dan kerjasama bersama pihak DBP.
Taklimat itu diharapkan dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan dalam kalangan warga perkhidmatan awan terutama DBP serta mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat antara NDMC dan agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap bencana.

Taklimat CBDRM mula diperkenalkan dan dilaksanakan oleh NDMC pada 2024 sebagai usaha memperkasa kesedaran dan kesiapsiagaan khususnya di kalangan warga perkhidmatan awam dan swasta di negara ini terhadap pengurusan bencana terutama dalam pengurangan risiko bencana.
Ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) yang diiktiraf oleh NDMC turut hadir menjayakan penganjuran Taklimat CBDRM kali ini.

