Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 14 MEI – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan hari ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang telah diadakan di perkarangan perpustakaan berkenaan.
Salah satu aktiviti tersebut ialah kempen derma darah yang diadakan dengan bantuan daripada Pusat Derma Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, di mana seramai 43 peserta yang mendaftar untuk kempen tersebut, hanya 39 orang yang layak untuk menderma satu pain darah setiap seorang.
Diadakan serentak dengan kempen tersebut ialah pemeriksaan kesihatan percuma yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Lions Belait, yang menyaksikan lebih 41 hadirin menerima pemeriksaan kesihatan seperti mengukur Indeks Jisim Badan (BMI) mereka untuk ujian darah dan diabetes, di samping membantu mereka memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan serta tempat untuk mendapatkan rawatan perubatan
selanjutnya.
Aktiviti-aktiviti berkenaan bertujuan untuk menggalakkan kepentingan menjalani gaya hidup sihat sekali gus mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan diri, serta membantu menyelamatkan nyawa dalam proses menderma darah.
Sementara itu, perpustakaan berkenaan turut menganjurkan galeri yang mempamerkan pelbagai gambar yang diambil semasa Sambutan Hari Kebangsaan ke-40 yang telah diadakan Februari lalu. Galeri tersebut dijadualkan akan diadakan di tingkat satu perpustakaan tersebut untuk tempoh dua minggu.


