Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengungkayahkan Program Mentor-Menti Kritikan Sastera 2025 yang buat julung kalinya dengan Majlis Pelantikan Mentor dan Penyerahan Menti diadakan baru-baru ini sebagai pembuka tirai pelaksanaan program tersebut.
Program berkenaan sebagai program pembangunan kapasiti melalui konsep pementoran dan merupakan salah satu inisiatif DBP dalam membangun dan memperkasa potensi pengkaji-pengkaji muda sebagai pelapis pemikir bangsa dalam bidang kritikan sastera.
Hadir selaku tetamu khas di majlis yang diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, yang sekali gus menyerahkan surat pelantikan mentor dan penyerahan menti kepada mentor.
Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mendaulatkan, memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ke arah mendukung visi dan misi DBP; mengupayakan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang wacana kritikan sastera melalui program pementoran; dan mewujudkan hubungan profesional yang membina antara mentor dan menti melalui plaftorm pertukaran pengetahuan dan pengalaman;
Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan menti bagi mengatasi kelemahan dan kekurangan dalam bidang penulisan kritikan sastera; dan membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran dan masalah dalam merangka sesebuah penulisan hasil daripada bimbingan dan pemantauan mentor.
Menerusi program berkenaan, ia melibatkan proses interaksi seorang mentor dengan menti melalui tindakan seperti membimbing, menyokong dan memberi pandangan serta nasihat.
Kepakaran dan pengetahuan seseorang mentor dapat dikongsi dan diimplementasikan secara intensif, dengan mengedepankan pemikiran kritis pengkaji-pengkaji muda sebagai bakal pemikir bangsa yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan mempunyai daya berwacana yang dapat menguasai karya sastera dengan penerapan teori dan kritikan sastera.
Pelaksanaan program ini akan diadakan selama lima bulan, iaitu 12 sesi bimbingan bermula pada bulan Julai 2025 dan dijangka selesai pada November 2025. Seramai 12 barisan menti yang terpilih mengikuti program ini di bawah pemantauan seorang mentor.
Mentor bagi program ini ialah Dr Maslin bin Haji Jukim @ Jukin, selaku Ketua Program Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam yang bidang pengkhususannya lebih kepada pengkajian dan penelitian folklor Brunei Darussalam.
Pelaksanaan program sebagai pembangunan profesionalisme bagi membangun potensi dan keupayaan pengkaji-pengkaji muda ini dihasrat dapat melahirkan penulis dan pengkaji muda dan baharu yang berkualiti, mandiri, bijak berwacana dan berketerampilan sebagai pelapis pemikir bangsa.