Oleh Daniel Lim –
KUALA BELAIT, 28 JAN – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meriah dengan kehadiran penduduk sekitar Kampung Pandan yang menyertai pelbagai aktiviti dalam Program Aktiviti Mesra yang diadakan selama dua hari bermula 27 Januari hingga hari ini pada pukul 9:30 pagi hingga 4:30 petang.
Antara aktiviti yang diadakan pada pagi itu termasuk sesi senamrobik di mana penduduk dan kakitangan perpustakaan boleh memulakan hari dengan bertenaga bagi menyertai permainan dan aktiviti yang menyeronokkan.
Permainan dan aktiviti tersebut diadakan di seluruh kawasan perpustakaan bagi menggalakkan penduduk mengunjungi perpustakaan sambil menghabiskan hujung minggu bersama rakan dan keluarga.
Selain itu, program ini juga berfungsi untuk mengajar pengunjung khususnya kanak-kanak bagi meningkatkan literasi dan pengetahuan dengan melibatkan diri dalam pelbagai permainan dan aktiviti. Menariknya, peserta daripada pelbagai peringkat umur berpeluang bagi memenangi hadiah-hadiah yang disediakan.
Selain itu, terdapat gerai-gerai yang terdiri daripada usahawan tempatan yang menjual pelbagai produk di seluruh premis di dalam dan luar perpustakaan serta menawarkan pelbagai permainan dan aktiviti menyeronokkan.


