DBP Seria tarik pengunjung dengan acara Jualan Garaj

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 6 SEPT – Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Seria telah menganjurkan acara Jualan Garaj selama dua hari bermula kelmarin, yang mendapat respons positif daripada pengunjung dari kawasan sekitar.

Dengan lima gerai didirikan di premis perpustakaan berkenaan oleh kakitangan, acara berkenaan bertujuan untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti yang dijalankan perpustakaan tersebut sepanjang tahun bagi memberikan peluang kepada penduduk terutamanya generasi muda untuk mengamalkan tabiat membaca yang sihat pada masa yang sama menyertai aktiviti yang diadakan.

Pembantu Perpustakaan Tingkat 1, Dayang Norhafizah binti Mustaffa ketika ditemui berkata, jualan garaj berkenaan merupakan acara besar pertama bagi perpustakaan berkenaan setelah terpaksa menangguhkan aktiviti-aktiviti yang dirancang sebelumnya berikutan pandemik COVID-19.

Dengan pelan de-escalation terus didedahkan, perpustakaan menggunakan peluang yang diberikan untuk mengadakan acara jualan berkenaan yang bukan sahaja bertujuan sebagai menandakan permulaan semula aktiviti-aktiviti di perpustakaan berkenaan malah menilai permintaan pengunjung.

Menurut beliau, pada hari pertama, respons daripada pengunjung adalah positif dengan pelajar-pelajar dari Maktab Anthony Abell berdekatan serta penduduk kawasan sekitar telah mengunjungi perpustakaan berkenaan, kelmarin.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa mereka juga menerima maklum balas daripada vendor berpotensi dari kawasan sekitar yang ingin menyertai aktiviti berkenaan tetapi, sebagai acara pertama pada tahun ini, mereka mengambil langkah mengehadkan jumlah gerai untuk kakitangan sahaja bagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Acara Jualan Garaj anjuran DBP Seria mendapat respons positif daripada pengunjung dari kawasan sekitar.