Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    DBP terbitkan buku baharu

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dalam usaha untuk mendidik dan membarigakan nilai-nilai kewibawaan yang berteraskan budi pekerti serta memantapkan jati diri dalam kalangan pemimpin organisasi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan sebuah buku berjudul Kepimpinan: Budi Pekerti, Tuturan Hati yang dilancarkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Majlis juga telah menyaksikan penandatanganan perjanjian lesen untuk menerbitkan karya antara DBP selaku penerbit dengan Tengku Sri Indra bin Tengku Ismail selaku penulis.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran buku berkenaan serta menyaksikan penandatanganan perjanjian lesen ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), pengarah-pengarah pentadbiran, pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Brunei (BAS) serta pegawai-pegawai yang mengendalikan hal ehwal sumber manusia di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

    Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit dalam ucapan alu-aluannya menyatakan DBP terus komited mendayaupayakan pelbagai inisiatif yang menggarisbawahi bukan sahaja daripada aspek meningkatkan ilmu pengetahuan tetapi juga aspek meningkatkan kemahiran dan potensi masyarakat dalam pelbagai bidang.

    Hajah Haireni (dua dari kiri) dan Tengku Sri Indra (dua dari kanan) menandatangani perjanjian lesen dengan disaksikan oleh Pengiran Haji Mohd Hasnan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Kepelbagaian platform yang disediakan itu, ulasnya, adalah bagi memastikan masyarakat mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai bidang kemahiran demi menjadi tenaga kerja yang berwibawa.

    Menyentuh mengenai buku yang baru dilancarkan itu, beliau menyatakan ia bukan sahaja memberikan bimbingan mengenai asas kepimpinan tetapi ia juga menekankan budi pekerti dalam setiap perkara yang dilaksanakan terutamanya dalam memimpin sebuah organisasi.

    “Ini bermakna, pembangunan negara tidaklah hanya melibatkan perkembangan kepakaran dan kemahiran pemimpin namun, mestilah seiring dengan pembangunan moral dan nilai budi pekerti tinggi.”

    Hajah Haireni berkata lagi, “Kehalusan dan kekayaan budi pekerti yang dimiliki sememangnya cerminan peradaban bangsa Melayu kerana budi pekerti cukup berperanan penting dalam memelihara tamadun bangsa.”

    Majlis diteruskan dengan pelancaran buku yang disempurnakan oleh Pengiran Haji Mohd Hasnan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda