Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    DBP terima sumbangan bahan bacaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Dalam usaha mempromosi kebudayaan Oman di Negara Brunei Darussalam sekali gus memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua buah negara, Kedutaan Kesultanan Oman di Brunei Darussalam telah melancarkan Sudut Terbitan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara, hari ini.

    Pelancaran sudut berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Rashid Al-Maskari.

    Terdahulu sebelum majlis perasmian sudut berkenaan, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya berkata, “Sumbangan bahan bacaan daripada Kedutaan Kesultanan Oman kepada DBP sangat amat bernilai dan setentunya akan memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.”

    Menurut beliau lagi, sumbangan hampir 250 bahan terbitan termasuk cakera padat itu bukan sekadar untuk menambah koleksi perpustakaan tapi untuk mempromosi dan mengongsikan pengetahuan mengenai Kesultanan Oman.

    Selain itu, sudut berkenaan turut mempamerkan mengenai kebudayaan Kesultanan Oman yang dihasratkan dapat memberi nilai pengetahuan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang mengunjungi pameran berkenaan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan TYT Sheikh Ahmed semasa menyaksikan sudut berkenaan dengan lebih dekat.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa DBP sedang giat mengupayakan usaha meningkatkan fungsi perpustakaan DBP sebagai pusat komuniti yang menyediakan platform pembelajaran seumur hidup dengan memberikan perkhidmatan dan sumber maklumat yang berkualiti, penyediaan ruang fizikal yang kondusif dan memberi latihan yang bersesuaian.

    “Bahagian Perpustakaan DBP mengadakan kegiatan yang dikenali dengan Reaching The World yang mempamerkan sudut terbitan negara-negara besar secara bergilir-gilir setiap bulan yang mana konsep pameran bukan tertumpu kepada buku yang sama,” tambahnya.

    Sementara itu, TYT Sheikh Ahmed dalam ucapannya menjelaskan, sudut terbitan Al-Khalil bin Ahmad Al-Farahidi itu merupakan satu peluang untuk meraikan salah satu faktor dan kemudahan asas yang paling kuat dalam penyebaran dan pemeliharaan pengetahuan.

    Selain pertukaran budaya, ia sesuai dengan inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam membangunkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

    Sejurus majlis pelancaran, TYT Sheikh Ahmed menyampaikan potret Baginda Sultan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Qaboos bin Said, Almarhum Sultan Oman semasa lawatan ke Kesultanan Oman pada 2009, kepada DBP.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda