Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Sebanyak 175 buah buku merangkumi pelbagai judul seperti sejarah, ekonomi, teknologi, seni dan budaya telah disumbangkan oleh Kedutaan Besar Republik Rakyat China kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Muara turut diselajurkan dengan perasmian Sudut Bacaan China dan Buku Cerita China Kong Rong Gave Away Bigger Pears yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Terdahulu, sumbangan buku diserahkan oleh Bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo kepada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Sumbangan buku berkenaan adalah usaha berterusan bagi memupuk budaya membaca di negara ini sekali gus menambah bahan bacaan serta koleksi Perpustakaan DBP.
Ia juga diharap akan memperkaya sumber bacaan mengenai China di Perpustakaan DBP seterusnya membolehkan lebih ramai pengguna perpustakaan mengetahui sejarah serta ekonomi China. Selain itu, untuk membina hubungan kerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Rakyat China.
Turut hadir pada majlis itu ialah para pegawai dari Kedutaan Besar Republik Rakyat China, pemangku-pemangku pengarah, pegawai-pegawai kanan, dan para pegawai DBP.