JOHANNESBURG, 25 JULAI – Sebuah terowong perlombongan bernilai AS$2.2 bilion di Afrika Selatan telah mula menghasilkan berlian pertamanya, menurut pengumuman daripada syarikat gergasi perlombongan, De Beers hari ini.
Pada 2012, syarikat global itu memulakan penggalian di bawah lombong berlian terbesar di negara itu, Venetia, yang berusaha untuk mencari berlian pada kedalaman lebih daripada 1,000 meter.
Venetia merupakan lombong terbuka di timur laut Afrika Selatan, berhampiran sempadan dengan Zimbabwe dan Botswana, yang ditutup pada Disember 2022 selepas 30 tahun pengeluaran.
Syarikat tersebut menjelaskan bahawa berlian pertama itu merupakan ‘pencapaian penting’ tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Operasi bawah tanah itu, yang menggaji kira-kira 4,300 orang, kini sudah siap 70 peratus, katanya.
Fasiliti itu dijangka menghasilkan antara 4.5 juta hingga 5.5 juta karat berlian setiap tahun.
Pengarah operasi pengurusan De Beers, Moses Madondo berkata, pelaburan itu meningkatkan ‘pengeluaran jangka panjang’ kumpulannya dan merupakan petanda komitmen syarikat itu kepada Afrika Selatan.
“Kami tidak sabar untuk melihat pasukan berprestasi tinggi ini meneruskan kerja yang baik apabila kami meningkatkan pengeluaran dalam beberapa tahun akan datang,” katanya. – AFP
