TREVISO, ITALI, 27 MEI – Pelumba basikal Belgium, Dries De Bondt memenangi peringkat 18 Giro d’Italia kelmarin selepas mengatasi empat pelumba yang lain sepanjang kilometer terakhir.
Peringkat akhir pada perlumbaan 21 hari di sekitar Itali ini sepatutnya menjadi peluang terakhir untuk pelumba basikal seperti Arnaud Demare dan Mark Cavendish meriah kemenangan, tetapi dalam pertandingan kali ini mereka telah dinafikan oleh kumpulan dari Belgium.
De Bondt yang berusia 30 tahun itu mendahului Edoardo Affini dari Jumbo untuk menamatkan saingan dengan Magnus Cort dari EF di tempat ketiga dan Davide Bardiani dari CSF di tempat keempat selepas mereka bekerjasama sepanjang dua pusingan litar pusat bandar yang sempit di Treviso.
Sekumpulan pelumba tersebut memulakan perlumbaan sejauh 20km dengan ketinggalan hanya dua minit, dan aksi kejar-mengejar mungkin dapat disaksikan pada litar yang kurang memerlukan kemahiran teknikal.
Demare dari Perancis masih mendahului dalam ranking mata pecut dengan pungutan 254 mata manakala Cavendish yang berusia 37 tahun di tempat kedua dengan 132 mata.
Manakala bekas pemenang Giro dari Ecuador, Richard Carapaz mengekalkan pendahuluan 03 saat dalam kedudukan keseluruhan di atas pelumba Australia, Jai Hindley.
Sementara itu, ketua pasukan Bahrain, Mikel Landa di tempat ketiga dengan 1 minit 05 saat.
Laluan perlumbaan kelmarin dari Marano Lagunare ke Santuario di Castelmonte menampilkan empat pendakian.
Namun altitud tinggi pada Sabtu ini akan memberikan cabaran sebenar dengan pendakian setinggi lebih 2000m. – AFP