MANCHESTER, 21 MEI – Kevin De Bruyne meluahkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada kebangkitan Manchester City sebagai kuasa dominan bola sepak England sepanjang dekad lalu selepas tampil dalam aksi terakhirnya di Etihad kelmarin.
De Bruyne menerima penghormatan istimewa sebelum dan selepas kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth yang semakin merapatkan City dengan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
Pemain tengah Belgium, 33, meninggalkan legasi luar biasa selepas membantu kelab itu meraih enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), lima Piala Liga, dua Piala FA dan kemuncaknya kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah pada 2023.
Lebih 400 penampilan, 108 gol dan 177 bantuan jaringan meletakkan namanya dalam senarai pemain tengah terbaik sepanjang zaman dalam sejarah EPL.
“Ia satu perjalanan yang sukar dipercayai, satu keseronokan,” kata De Bruyne kepada Sky Sports.

“Saya hanya mahu menggembirakan orang ramai, bermain bola sepak menyerang, cipta peluang dan berseronok. Saya rasa kami dah banyak berseronok sepanjang 10 tahun ini.
“Ada menang, ada kalah. Tapi yang pasti, saya sangat bangga dengan usaha keras kami mencipta sesuatu yang besar untuk kelab ini dan menjadikannya jauh lebih baik daripada sebelumnya.”
Namun, malam penuh emosi itu tidak berakhir dengan sentuhan sempurna apabila De Bruyne gagal menjaringkan gol dalam aksi perpisahan di laman sendiri.
Dia mensia-siakan peluang terbaik selepas menerima hantaran Omar Marmoush, tetapi rembatannya hanya menggegar palang walaupun pintu gol terbuka luas.
“Ia teruk. Tiada alasan!” katanya berseloroh. “Anak saya pasti akan ‘bantai’ saya hari ini.” – AFP