MARSEILLE, 28 OKT – Manchester City mencatat dua kemenangan dalam dua perlawanan terakhir mereka dalam usaha memburu gelaran Liga Juara-Juara ketika Kevin De Bruyne mempamerkan aksi cemerlang dalam kemenangan 3-0 ke atas Marseille, semalam.
Kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, yang tidak pernah mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Pep Guardiola kini berada di kedudukan teratas Kumpulan C selepas kejayaan pada perlawanan pembukaan di Porto minggu lalu.
Pengurus City berkata pasukannya wajar menerima kritikan selepas hanya menang dua daripada lima perlawanan di EPL setakat musim ini, tetapi dia percaya mereka mampu bangkit selepas menunjukkan prestasi baik di Stadium Stade Velodrome.
“Sebahagian daripada kritikan itu adalah wajar dan anda harus menerimanya. Ia adalah sebahagian daripada tugas kami.
“Ia mengenai di mana kedudukan kami pada bulan lalu, dengan persediaan yang tidak mencukupi, kecederaan dan COVID-19, tetapi di Liga Juara-Juara ini adalah buktinya.
“Saya pasti kami akan meneruskan aksi konsisten ini, saya sangat berpuas hati dengan permainan kami,” kata Guardiola.
Dengan De Bruyne mempamerkan aksi hebat di posisi tengah pada permulaan perlawanan sejak kembali dari kecederaan, City menewaskan Marseille dengan mudah.
Pasukan bimbingan Andre-Villas Boas (AVB), yang bermain dalam kempen Liga Juara-Juara pertama mereka sejak 2013 telah menerima kekalahan berturut-turut.
Bekas jurulatih Chelsea dan Tottenham itu menerima kritikan apabila memainkan lima pemain pertahanan.
“Anda mula mengkritik semua pilihan yang saya buat. City adalah City, yang telah menghabiskan lebih dari satu bilion euro selama bertahun-tahun untuk membina pasukan.
Mereka mempunyai jurulatih hebat.
“Sayangnya, Marseille tidak punya cukup wang untuk membawa Guardiola. Tetapi anda memiliki AVB dan taktiknya.” – AFP