MILAN, 22 OGOS – Kevin De Bruyne akan mengetuai misi mempertahankan kejuaraan Serie A Napoli pada Sabtu apabila dia melakukan penampilan penuh sulung menentang pasukan baharu dinaikkan pangkat, Sassuolo, namun juara bertahan itu memulakan musim baharu dengan kebimbangan ekoran kecederaan jangka panjang penyerang utama, Romelu Lukaku.
De Bruyne bersama ikon veteran Luka Modric merupakan nama besar yang menyertai Serie A pada musim panas ini dan para penyokong berharap gandingannya bersama rakan sepasukan Belgium, Lukaku, dapat mendorong Napoli meraih kejayaan di pentas domestik dan dalam kepulangan mereka ke Liga Juara-juara.
Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini kerap dibelenggu kecederaan hamstring yang menyebabkan dia terlepas banyak aksi dalam dua musim terakhir bersama Manchester City, kelab yang diwakilinya memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-juara pada tahun 2023.
Namun, dia mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan Napoli baru-baru ini menentang Girona, dengan menjaringkan dua gol dan mencipta satu lagi dalam kemenangan 3-2. Dengan Antonio Conte kekal membimbing pasukan, kelab gergasi dari selatan Itali itu dilihat mempunyai peluang besar mengekalkan Scudetto. – AFP


