MANCHESTER, 16 MEI – Kevin De Bruyne boleh menambah koleksinya sebagai pemain paling berjaya Manchester City sepanjang zaman dengan memenangi final Piala FA menentang Crystal Palace esok.
Pemain Belgium itu mengumpul pelbagai gelaran sepanjang sedekad di Manchester tetapi ia bakal berakhir pada penghujung musim ini.
Pertembungan di Wembley esok adalah peluang terakhir buat pemain 33 tahun itu menjulang trofi bersama kelab yang menjadikannya salah seorang pemain terbaik dunia.
De Bruyne berpeluang menjulang trofi Piala FA buat kali ketiga untuk menambah koleksi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, lima Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara Eropah bersama City.
Namun, De Bruyne mengakui terkejut apabila kelab tidak menawarkan sambungan kontrak meskipun dia yakin masih mampu beraksi di peringkat tertinggi.

De Bruyne membantu City bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk membelasah Palace 5-2 dengan satu gol dan satu bantuan gol bulan lalu.
City juga berharap dapat memberikan ucapan selamat tinggal terbaik buat De Bruyne, sekali gus menebus kekecewaan anak buah Pep Guardiola musim ini.
Selepas empat gelaran Liga Perdana Inggeris berturut-turut, City ketinggalan 18 mata di belakang juara, Liverpool musim ini dan bergelut untuk mengesahkan tempat dalam kelompok lima terbaik liga bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Kemerosotan prestasi De Bruyne menyumbang kepada kekecewaan City musim ini.
Daripada 108 gol dan 177 bantuan gol dalam 419 penampilannya untuk kelab, hanya enam gol dan lapan bantuan gol dirakam musim ini.
Bagaimanapun, dia kekal ‘tidak boleh diganti’ kerana impaknya dalam kebangkitan City menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris, menurut penyerang prolifik kelab itu, Erling Haaland. – AFP