De Bruyne tambah dua tahun untuk bermain

LONDON, 2 APRIL – Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne telah berikrar untuk terus bermain tambahan dua tahun di penghujung karier untuk menggantikan masa yang telah hilang disebabkan oleh koronavirus.

Liga Perdana Inggeris telah ditunda sehingga sekurang-kurangnya 30 April kerana pandemik dan berkemungkinan besar akan ditunda apabila pemegang saham Liga Perdana Inggeris mengadakan perjumpaan esok. De Bruyne tidak bermain sejak 1 Mac kerana krisis kesihatan dan pengalaman pahit membelenggu bintang Belgium itu memperlihatkan betapa dia mencintai bola sepak.

Pemain berusia 28 tahun berhasrat untuk memanjangkan kariernya selepas dia menikmati musim yang sangat bagus bersama City selepas terlepas kebanyakan kempen memenangi treble musim lalu disebabkan oleh kecederaan.

“Saya memberitahu isteri saya bahawa saya akan bermain untuk tempoh yang lama sedikit,” De Bruyne berkata dalam siaran langsung video Instagram sesi soal jawab dengan rakan senegaranya, Romelu Lukaku dan Axel Witsel.

“Selepas perintah berkurung, saya tidak boleh berada di rumah. Saya memberitahu isteri saya bahawa saya akan menambah dua tahun lagi.

“Inilah masanya untuk bermain bola sepak semula, saya rindukannya dan ia adalah sukar. Tetapi kita tidak penting, bola sepak tidak penting. Orang ramai suka bola sepak, tetapi anda perlu terus selamat.”

De Bruyne mendedahkan keluarganya, termasuk dua orang anaknya, telah jatuh sakit semasa perintah berkurung. Tetapi di berkata mereka semua kini dalam keadaan baik-baik dan sihat sahaja. – AFP

Kevin De Bruyne telah berikrar untuk terus bermain tambahan dua tahun di penghujung karier untuk menggantikan masa yang telah hilang disebabkan oleh koronavirus. – AP