LONDON, 24 JULAI – Pep Guardiola menegaskan bahawa Kevin De Bruyne tidak akan tinggalkan Manchester City pada musim ini selepas laporan menyatakan bintang kelahiran Belgium itu mungkin berhijrah ke Arab Saudi.
De Bruyne yang mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama City dan pemain tengah itu baru-baru ini mendedahkan dia telah berbincang dengan isterinya, Michele mengenai rancangan masa depannya.
“Bagi Michele, pengembaraan eksotik adalah okey,” kata De Bruyne yang memberi bayangan bahawa dia mungkin akan menamatkan tempoh gemilangnya di Liga Perdana Inggeris bersama City.
Kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad dipercayai berminat untuk mendapatkan khidmat De Bruyne.
Tetapi laporan akhbar United Kingdom (UK), kelmarin berkata bahawa pengurus City, Guardiola menolak sebarang cadangan pemain berusia 33 tahun itu dibenarkan untuk berpindah musim ini.
Bercakap menjelang perlawanan persahabatan City menentang Celtic di Carolina Utara, Guardiola memberitahu wartawan ‘Kevin tidak akan pergi’.
De Bruyne kembali selepas terlepas separuh masa pertama musim lalu disebabkan oleh kecederaan dan membantu City untuk mencipta sejarah dengan gelaran Liga Perdana Inggeris keempat berturut-turut.
Dia menyertai City dari Wolfsburg pada 2015, dan memenangi 15 trofi utama termasuk enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu mahkota Liga Juara-Juara.- AFP










