De Croo PM baharu Belgium

BRUSSELS, 30 SEPT – Pemimpin liberal Flemish Alexander De Croo akan menjadi perdana menteri baharu Belgium untuk mengetuai kerajaan gabungan tujuh parti, demikian menurut pengumuman hari ini – 16 bulan selepas pilihan raya berakhir tanpa keputusan.

Pesaing sosialis De Croo, Paul Magnette mengesahkan bahawa parti telah memilih menteri kewangan berusia 44 tahun itu sebagai perdana menteri. Beliau akan dilantik esok oleh raja Belgium.

Dengan memilih seorang pemimpin Flemish, kerajaan baharu berharap dapat mengimbangkan komposisi parlimen yang terdiri daripada parti yang kebanyakannya bertutur Perancis, dengan kumpulan bertutur Belanda dalam pihak pembangkang.

Belgium tidak mempunyai majoriti mutlak selama 21 bulan sejak kejatuhan kerajaan bekas pemimpin Charles Michel, dan 493 hari telah berlalu sejak pilihan raya persekutuan gagal menyelesaikan krisis tersebut.

Pemimpin dari tujuh parti bertemu sehingga awal pagi hari ini sebelum mencapai persetujuan mengenai program kerajaan dan barisan kabinet yang akan dibentangkan kepada Raja Philippe.

De Croo akan mengganti pemimpin liberal Sophie Wilmes yang telah berkhidmat sebagai pemangku perdana menteri semasa wabak koronavirus tetapi tidak pernah memperoleh majoriti parlimen.

Gabungan baharu itu akan mengumpul bersama dua parti sosialis – satu kumpulan yang bertutur Bahasa Perancis dan satu Bahasa Flemish – dua parti liberal dan dua parti hijau. – AFP

Alexander De Croo dari parti VLD menyampaikan ucapan pada sidang media selepas rundingan untuk membentuk kerajaan baharu, kelmarin. – AFP