VALENCIA, 23 MAC – Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, memuji kehebatan barisan pemainnya yang dianggap memiliki ‘bekalan bakat yang tidak terbatas’ menjelang perlawanan suku akhir kedua Nations League menentang Belanda pada Ahad.
Juara Euro 2024 itu bangkit mengikat Belanda 2-2 dalam perlawanan pertama, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan kompetitif terakhir mereka. Pertahanan tengah Bournemouth, Dean Huijsen, membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian di Rotterdam pada Khamis dan menampilkan aksi cemerlang.
Pada perlawanan kedua di Sepanyol, Huijsen berkemungkinan digandingkan dengan pemain pertahanan Real Madrid yang belum pernah beraksi, Raul Asencio, selepas bintang muda Barcelona, Pau Cubarsi, mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan pertama.
“Bagi kami, ramai pemain baharu ini bukanlah kejutan kerana kami tahu kualiti yang ada dalam bola sepak Sepanyol,” kata De la Fuente dalam sidang media.
“Kami boleh menggunakan pemain yang sudah mencipta sejarah dan masih menjadi pemain hebat dengan pengalaman luar biasa… serta pemain baharu yang akan terus memperkukuh pasukan dan menjadikan kami lebih kompetitif. – AFP
