Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    De Ligt, Mazraoui sertai United

    LONDON, 14 OGOS – Manchester United telah menandatangani Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui dari Bayern Munich, kata kelab Liga Perdana itu kelmarin.

    Bayaran untuk kedua-dua pemain itu tidak didedahkan oleh gergasi Inggeris itu, tetapi laporan media Britain menganggarkan bahawa kedua-duanya tiba di Old Trafford dengan gabungan £60 juta.

    Pertahanan Belanda, De Ligt, 25, kini akan kembali bekerjasama dengan pengurus United, Erik ten Hag, setelah bermain di bawah kendaliannya di Belanda bersama Ajax, selepas bersetuju dengan kontrak lima tahun serta pilihan setahun lagi.

    “Sebaik sahaja saya mendengar bahawa Manchester United mahukan saya, saya berasa teruja tentang peluang cabaran baharu di kelab yang bersejarah itu,” kata De Ligt.

    “Melalui perbualan yang diadakan, saya kagum dengan visi yang ditunjukkan oleh kepimpinan bola sepak, dan peranan yang mereka lihat untuk saya dalam pasukan ini.

    Reaksi de Ligt selepas menjaringkan gol semasa perlawanan Bundesliga Jerman di Allianz Arena inn Munich, Jerman pada 23 September 2023. – AP

    “Erik ten Hag membentuk peringkat awal karier saya supaya dia tahu bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada saya, dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya lagi,” tambahnya.

    De Ligt telah pun memenangi kejuaraan liga di tiga negara berbeza dengan Ajax (Belanda), Juventus (Itali) dan Bayern (Jerman).

    Dia menambah “Saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tertinggi, dan saya ber-azam untuk meneruskan rekod itu di kelab istimewa ini.”

    De Ligt memperkukuhkan perta-hanan tengah United berikutan pemergian Raphael Varane, dengan Leny Yoro, yang juga tiba pada jendela perpindahan musim panas ini, berkemungkinan terpaksa diketepikan sehingga tiga bulan akibat kecederaan kaki yang dialaminya semasa perlawanan pramusim menentang Arsenal.

    Mazraoui, 26, juga pernah bermain di bawah Ten Hag di Ajax, memenangi tiga kejuaraan liga bersama kelab Belanda itu dan satu lagi bersama Bayern. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda