LONDON, 9 NOV – Matthijs de Ligt menyelamatkan Manchester United mencapai keputusan seri 2-2 menentang Tottenham dalam pertembungan yang sengit di akhir perlawanan apabila kedua-dua pasukan terlepas peluang duduki tempat kedua dalam Liga Perdana kelmarin.
Spurs kelihatan seperti telah memperoleh kemenangan dramatik, setelah ketinggalan enam minit sebelum tamat, apabila Mathys Tel menyamakan kedudukan sebelum Richarlison menanduk masuk gol pada minit ke-91.
Walau bagaimanapun, De Ligt berjaya menjaringkan gol pada minit ke-96 melanjutkan rekod tanpa kalah United kepada lima perlawanan.
“Mujurlah kami mendapat satu mata, saya fikir kami berhak mendapat lebih banyak mata dengan permainan kami,” kata De Ligt kepada TNT Sports. “Saya berbangga dengan bagaimana pasukan itu bangkit dan mendapat satu mata di stadium yang sukar.”
Kedua-dua pasukan memperoleh 18 mata daripada 11 perlawanan tetapi perbezaan gol memisahkan Spurs di tempat ketiga daripada United di tempat ketujuh.
The Red Devils kini gagal menewaskan Spurs dalam lapan pertemuan mereka sebelum ini, termasuk kekalahan 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Europa pada bulan Mei.
Penyerang daripada Cameroon, Bryan Mbeumbo membuka jaringan apabila dia menanduk masuk hantaran lintang Amad Diallo pada minit ke-32.
Spurs diejek selepas persembahan serangan yang teruk dalam kekalahan derby London 1-0 kepada Chelsea hujung minggu lalu. Selepas 45 minit pertama yang suram, pasukan tuan rumah kembali bangkit pada awal tempoh kedua.
Destiny Udogie melakukan hantaran lintang kepada pemain gantian, Tel untuk membelok dan merembat ke sudut atas gawang menyamakan kedudukan.
Setelah itu, Wilson Odobert, yang dimasukkan dari bangku simpanan pada separuh masa, melakukan rembatan melengkung ke arah sudut jauh yang disepak masuk oleh Richarlison mengalahkan Lammens yang tidak berdaya menepis percubaan.
Namun, ia masih belum mencukupi untuk memastikan Tottenham meraih kemenangan liga pertama di tempat sendiri sejak hujung minggu pembukaan musim ini.
De Ligt yang dibiarkan dengan terlalu banyak ruang memanfaatkan sepakan sudut Bruno Fernandes apabila menanduk dengan kuat menewaskan Guglielmo Vicario dan menyelamatkan satu mata untuk United di saat akhir. – AFP


