Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Debaran Liga B-16 semakin dirasai

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dan Piala Remaja NFABD Sokongan FIFA 2017 akan berlangsung dari Mac hingga November 2017 ini, yang akan membuka tirainya di Kompleks Sukan Berakas, 10 Mac ini.

    Sejumlah 11 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam liga peringkat kebangsaan berprestij berkenaan, yang buat kali kedua dianjurkan, dedah Pengarah Pertandingan, Awang Dayem bin Haji Ali.

    Semasa sidang media malam tadi itu, beliau turut menyatakan NFABD menyediakan 14 slot untuk liga itu, maka masih ada tiga kekosongan untuk diisi oleh mana-mana pasukan bawah 16 tahun di negara ini yang ingin menyertainya, tambahnya.

    Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan pengurus pasukan yang berminat untuk mendaftarkan pasukan masing-masing segera mendapatkan borang di NFABD House kerana tarikh tutup pendaftaran adalah pada 6 Mac, pukul 4 petang.

    Sebelum sidang media, Tabuan A selaku juara bertahan menyerahkan kembali Piala Rebutan Liga Remaja B-16 NFABD Sokongan FIFA kepada NFABD diwakili Ketua Jurulatih Tabuan A, Awang Fujiwara Takao, yang menyerahkannya kepada Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Bersama Liga.

    (Dari kiri) Awang Rosdin, Awang Dayem, Takao, Haji Madli dan Awang Mohammad Shahnon ketika sesi penyerahan kembali Piala Rebutan Liga Remaja B-16 NFABD Sokongan FIFA kepada NFABD.
    (Dari kiri) Awang Rosdin, Awang Dayem, Takao, Haji Madli dan Awang Mohammad Shahnon ketika sesi penyerahan kembali Piala Rebutan Liga Remaja B-16 NFABD Sokongan FIFA kepada NFABD.

    Liga untuk pemain yang lahir pada 2001, 2002 dan 2003 sahaja itu akan dijalankan secara liga dua pusingan, namun jika jumlah pasukan kurang daripada yang disediakan, liga mungkin dijalankan secara liga tiga pusingan bagi memberikan lebih banyak masa perlawanan kepada para pemain.

    Pengurus Liga, Awang Mohammad Shahnon bin Haji Mohd Salleh menjelaskan liga itu dijalankan adalah untuk memberikan masa perlawanan yang banyak kepada para pemain sebagaimana digariskan oleh FIFA iaitu dalam 35-40 perlawanan dalam setahun.

    Kesemua perlawanan liga akan berlangsung pada sebelah pagi Jumaat dan Ahad di empat tempat iaitu Padang A dan B, Kompleks Sukan Menglait; Kompleks Sukan Sungai Kebun dan Padang Astro Turf NFABD.

    Ia bertujuan untuk menggalakkan kelab tempatan memiliki program pembangunan bola sepak remaja dari umur muda lagi, dan sebagai landas pembangunan untuk pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

    Hadir sama semasa sidang media ialah Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz selaku Pengerusi Bersama Liga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda